Salam Kemerdekaan ke 57
Guru-guru serta anak-anak sekelian
Malaysia….Disini Lahirnya
Sebuah Cinta
Itulah tema sambutan
kemerdekaan negara kita pada tahun ini.
Ada sebuah lagu nyanyian Arwah Dato Sudirman Hj Arshad yang bermula
dengan lirik seperti tema kemerdekaan di atas. Lirik lagu tersebut mempunyai
sambungan ….Yang Murni Abadi Sejati. Disinilah
kita dilahirkan. Saya dilahirkan di
sini. Semua guru lahir di sini. Semua kita lahir di sini. Inilah tempat tumpahnya darah kita. Sebagai tempat kita dilahirkan sudah
sepatutnya kita semua merasa sayang dan cinta kepada tanah air kita ini.
Apakah makna
patriotisme? Patriotisme adalah
perkataan Inggeris. Perkataan asalnya
adalah patriot. Jika kita semak kamus,
apa jua kamus maka kita akan maklum bahawa makna patriot adalah orang yang
mempertahankan kebebasan atau orang yang mempertahankan hak tanahair. Patriot juga bermakna orang yang menjadi
pembela tanah air. Patriotik bermakna ada rasa di dalam hati, di dalam jiwa untuk mempertahankan tanah air dan untuk membela tanah air. Mempertahankan dan membela dari apa atau dari siapa? Dari siapa atau dari apa sahaja yang akan mengganggu gugat keselamatannya. Itulah tugas seorang patriot. Seorang patriot akan mempertahan dan membela tanah airnya dengan sepenuh tenaga dan sepenuh jiwa agar tanah airnya sentiasa berada dalam keadaan aman, selamat dan sejahtera.
Tema sambutan kemerdekaan tahun ini mengajak dan menyeru semua lapisan warga negara Malaysia untuk sama-sama mempunyai semangat patriotik; rasa cinta kepada negara. Bagaimana semangat patriotisme itu diukur? Apakah dengan mengibarkan bendera Malaysia maka dikatakan sudah ada semangat patriotisme itu? Kibaran Jalur Gemilang itu pula hanya berlaku dalam tempoh sambutan bulan kemerdekaan sahaja. Patriotkah itu? Bagaimana pula kalau dikibarkan setiap hari? Patriotkah itu? Jika kita kibarkan Jalur Gemilnag penuh di atas motorsikal kita atau penuh di keliling kereta kita sehingga menghalang pandangan penunggang ataupun pemandu, patriotkah itu? Apakah dengan melaungkan kata-kata semangat " Saya Sayang Malaysia" sudah membuktikan kita seorang yang cintakan Malaysia? Bagaimana pula dengan kata-kata bahawa jika kita sayangkan negara kita ini maka kita perlu melibatkan diri dalam bidang ketenteraan. Jika tidak mahu terlibat dengan bidang ketenteraan, maka tidak patriotlah seseorang itu.
Jadi apa bukti kita cinta dan sayangkan negara ini? Saya melihat faktor utama bukti seseorang warga negara itu sayangkan negaranya adalah setia. Seorang patriot mesti taat dan setia pada negaranya. Jika kita sayangkan Malaysia maka kita mesti taat dan setia kepada Malaysia. Taat setia akan diikuti dengan rasa hormat. Jadi seseorang rakyat Malaysia yang patriotik mesti taat setia kepada negara ini serta mesti hormat kepada negara ini serta kepada semua simbol kedaulatan negara ini. Kita mesti hormatkan perlembagaannya, hormatkan undang-undangnya, hormatkan Rajanya, hormatkan agamanya, hormatkan bahasanya, hormatkan benderanya, hormatkan sistemnya serta banyak lagi perkara yang bersangkutan dengan kedaulatan negara ini.
Para pelajar sekelian
Bersempena sambutan bulan kemerdekaan kali ke 57 ini marilah sama-sama kita tunjukkan dan tingkatkan kesetiaan kita kepada negara yang kita cintai ini. Di sini kita dilahirkan dan di sinilah kita akan disemadi nanti. Malaysia....Di sini Lahirnya Sebuah Cinta
Sekian wbt
Ulasan
Catat Ulasan